BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Musim Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 memberi ruang kepada ibu bapa untuk bersama anak terutama yang mempunyai masalah pembelajaran seperti disleksia.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak disleksia, inilah masa yang paling sesuai untuk sama-sama membantu anak mereka untuk membaiki kelemahan diri dan menjadi pelajar yang cemerlang.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Hafiza Abas yang juga pakar rujuk bidang disleksia berkata, disleksia adalah masalah pembelajaran yang spesifik iaitu membaca, mengeja, menulis dan bertutur.

“Namun masalah kesukaran membaca berbeza antara satu kanak-kanak disleksia dengan kanak-kanak disleksia yang lain.  Mereka sukar untuk memproses bentuk huruf kepada bunyi, menggabungkan bunyi menjadi suku kata, menggabungkan suku kata menjadi perkataan, menyusun perkataan untuk membentuk ayat dan seterusnya menulis karangan,” katanya pada forum anjuran Persatuan Saintis Muslim Malaysia (Perintis) yang disiarkan secara langsung melalui Facebook persatuan itu semalam.

Menurut Hafiza, keadaan demikian terjadi kerana terdapat kegagalan sistem otak belakang hemisfera kiri untuk berfungsi dengan baik semasa proses membaca.

Namun begitu, katanya, tahap kognitif kanak-kanak disleksia adalah normal.

“Malah mereka mungkin lebih bijak daripada kanak-kanak normal kerana mempunyai kecerdikan visual yang tinggi dan kreatif,” katanya yang mula berminat mengkaji masalah kanak-kanak disleksia setelah memilih mereka menjadi responden kajian tesis ijazah kedoktoran mengenai pembelajaran menggunakan Realiti Terimbuh.

Hafiza, yang juga Ahli Jawatankuasa Perintis, turut menasihatkan ibu bapa agar mewujudkan suasana ceria semasa belajar dan memanfaatkan masa bersama anak dengan aktiviti yang dapat membantu mereka untuk mengatasi masalah dalam pembelajaran.

“Antara aktiviti yang dicadangkan seperti untuk masalah motor halus,  aktiviti membaling bola, mengurut ayah, memicit ibu, bermain doh tanah liat, membuat origami dan bermain lego.

“Bagi merawat masalah menulis,  cara memegang pensil, membuat garisan pendek bersegi, garisan beralun dan menulis huruf mengikut sambungan titik-titik. Seterusnya ajar mereka untuk menyalin huruf dan perkataan secara pemerhatian, tanpa bantuan titik-titik.

“Bagi masalah bertutur pula, teknik pengulangan, permainan anak patung, bacaan puisi, pantun dan cerita pendek juga nyanyian boleh digunakan untuk belajar menyebut bersama-sama,”  katanya yang telah menghasilkan dua buku iaitu ‘Panduan Guru: Program Khas Integrasi Masalah Pembelajaran Disleksia KSSR Tahap 1 Bahasa Melayu & Dunia Sains Dan Teknologi’ dan ‘Program Khas Integrasi Masalah Pembelajaran Spesifik Disleksia Bahasa Melayu’.

Untuk mengikuti forum itu, boleh layari  https://www.facebook.com/SaintisMuslim/live_videos/

— BERNAMA